PAK SEHALUS: WATAK JENAKA

ORANG ASLI JAKUN SUNGAI MOK, ROMPIN[1]

Shaiful Bahri Md. Radzi

Profesor Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

Universiti Kebangsaan Malaysia

Mohamad Luthfi Abdul Rahman

Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia

PENGENALAN

Cerita jenaka merupakan satu-satunya genre sastera rakyat berbentuk prosa yang dapat mengekalkan kelangsungan dan popularitinya sehingga kini berbanding yang lainnya.[2] Sifatnya yang pendek, ringkas dan berteraskan unsur kelucuan memberikannya justifikasi kerelavanan fungsi keceriaan bagi kekal wujud selain wadah kritikan sosial. Keadaan ini memperli-hatkan genre cerita jenaka berdaya tahan dan begitu dinamik sekali sifatnya. Kedinamikan ini terserlah memandangkan tema tipikal genre ini sama ada Si Bodoh dengan kebodohannya ataupun pertentangan antara Si Bodoh dan Si Bijak mampu dipersesuaikan dengan isu-isu moden yang berlaku dalam kehidupan kontemporari bagi pengungkapan isian cerita. Dalam konteks ini, cerita jenaka kini lebih beraroma moden dikenali sebagai folklor bandaran (urban folklore). Walau bagaimanapun, pada dasarnya, cerita jenaka secara tradisinya tercipta dan berpusat kepada watak lucu yang dipersendakan bagi menimbul-kan kelucuan dan bersifat sejagat.

Kesejagatan cerita jenaka memperlihatkan setiap bangsa di serata pelosok dunia ini sama ada yang maju mahupun mundur memiliki tradisi cerita jenaka dengan watak lucu popular yang lahir dari warisan budaya masing-masing. Di Ireland, watak jenaka terkenal mereka ialah Alderman; Till Eulenspiegel di Jerman; Juha atau Chojah Nasr ad-din bagi Arab-Turki manakala Wakdjunkaga di Amerika Utara dalam kalangan puak Asli Winnebago[3] dan masyarakat Polynesia di Lautan Pasifik pula terdapat Maui-tikitiki-a-Tarangga.[4] Selari dengan di Barat, Timur Tengah dan Pasifik, warga Nusantara juga tidak ketinggalan turut mempunyai pelbagai cerita jenaka termasuk penampilan barisan watak lucu seperti Pak Pandir dalam kalangan masyarakat Melayu;[5] Si Meuseukin di Acheh; Si Kabayan[6] bagi orang Sunda dan Jaka Bodo atau Pak Dungu[7] untuk orang Jawa. Di Kalimantan utara, watak ini dikenali dengan panggilan Si Saloi, Apai Saloi atau Pak Saloi dalam kalangan pelbagai etnik di Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan Barat (Kalbar).[8] Satu hal yang menarik, dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung khusus-nya bagi suku kaum Jakun yang mendiami Kampung Sungai Mok, Pahang terdapat sebuah cerita jenaka yang memperkatakan tentang watak lucu yang dikenali sebagai Pak Sehalus dan dituturkan oleh penglipur lara mereka, Pura Taman.

SUNGAI MOK DAN PURA TAMAN

Sungai Mok terletak di mukim Endau, daerah Rompin, Pahang kira-kira 40km dari pekan Kuala Rompin dan dapat dihubungi melalui Felda Selendang dalam perjalanan menghala ke Taman Negeri Rompin. Penempatan kecil 380 orang suku kaum Jakun daripada 76 keluarga ini bergantung hidup dengan aktiviti pertanian terutama mengusahakan tanaman kelapa sawit, buah-buahan dan mengutip hasil hutan seperti rotan, petai dan tumbuhan hutan untuk jualan selain mengambil upah gaji harian di luar. Kediaman mereka dibuat daripada rumah kayu ala peneroka Felda berbanjar di kiri kanan jalan masuk dilengkapi kemudahan asas seperti air paip, letrik, dewan, tadika dan sekolah rendah. Kehidupan mereka agak secara sederhana sifat-nya serta mengamalkan dan mempertahankan amalan keperca-yaan nenek moyang yang berteraskan tradisi lisan. Oleh itu, amalan bercerita sebagai kegiatan hiburan bagi mengisi masa santai selain merapatkan hubungan masyarakat setempat masih segar memandangkan terdapatnya seorang penglipur lara, Pura bin Taman (Shaiful Bahri 2004 dan Mohamad Luthfi 2008).

Pura bertubuh kecil, kurus dan berkulit gelap berusia sekitar 76 tahun dilahirkan di Kuala Rompin tetapi kemudiannya berpindah ke Sungai Mok mengikut ibunya ketika musim Jepun. Aktiviti bercerita mula dikuasai ketika berumur 12 tahun dari neneknya, Nenek Yaman, emak saudara dan juga kenalan yang meliputi cerita ‘Mamak Batin,’ ‘Cerita Burung Bayan,’ ‘Cerita Puteri Umbut,’ ‘Cerita Awang Buang,’ ‘Cerita Awang Miskin,’ ‘Cerita Kambing Buta,’ ‘Cerita Siti Munjadi,’ ‘Cerita Malim Sedeman,’ ‘Cerita Cincin Emas’ dan ‘Cerita Pak Sehalus.’ Dalam persembah-an, Pura tidak menggunakan alat muzik dan pada kebiasaannya cerita itu dituturkan ketika majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan ‘bela kampung’ atau semasa berada di hutan ketika mencari rotan, berburu dan sebagainya. Sebagai pewaris generasi lama, Pura kecewa kerana tradisi dipertahankannya tidak diminati untuk diwarisi generasi muda memandangkan keghairahan hiburan ini tidak dapat menandingi bentuk hiburan baru masa kini seperti televisyen dan video. Kekecewaan yang disuarakannya memandangkan bahawa salah satu tradisi Jakun tempatan yang amat berharga akan kepupusan apabila ketiadaannya nanti dan keadaan ini menjadikan beliau sebagai seorang penglipur lara tanpa pewaris (Shaiful Bahri 2004 dan Mohamad Luthfi 2008).

KOLEKSI PURA DAN CERITA PAK SEHALUS

Dari segi genre, koleksi cerita milik Pura adalah pelbagai. ‘Mamak Batin’ umpamanya, merupakan cerita mitos yang menjadi teras kepada kepercayaan animisme setempat yang dianggap suci dan kudus.[9] ‘Cerita Burung Bayan,’ ‘Cerita Puteri Umbut,’ ‘Cerita Awang Buang,’ ‘Cerita Awang Miskin,’ ‘Cerita Kambing Buta,’ ‘Cerita Siti Munjadi,’ ‘Cerita Malim Sedeman’ dan ‘Cerita Cincin Emas’ adalah cerita lipur lara yang menggambarkan kisah-kisah pengembaraan watak protagonisnya yang dijalin dengan adegan peperangan, percintaan, keajaiban dan penyamaran serta disisipkan selingan puisi. Keadaan ini menjadikan cerita-cerita ini amat menarik dan keindahannya lebih terserlah apabila disampai-kan oleh Pura yang mahir dan berkebolehan. Pada amnya, cerita-cerita ini memberikan gambaran tentang kehidupan masyarakat, harapan serta impian mereka daripada kelompok masyarakat yang ‘terpinggir’ – suatu pengalaman derita silam yang dipancar-kan dalam sastera rakyat. Pada mereka, karya sastera mampu membekalkan maklumat tentang masyarakat setempat di persekitaran penghasilan karya tersebut yang siratan makna yang boleh dicerap faedahnya. Berbanding cerita mitos dan lipur lara, ‘Cerita Pak Sehalus’ adalah cerita jenaka yang berfungsi sebagai bentuk hiburan dan juga kritikan sosial (Mohamad Luthfi 2008).

Dari sudut binaan cerita, kesemua cerita koleksi peribadi Pura mempunyai struktur binaan cerita yang kompleks dan mengambil masa yang panjang untuk dipersembahkan. Kebiasa-annya, Pura mempersembahkan setiap satu cerita itu secara bersambung-sambung sehingga berlarutan untuk beberapa malam dan sering kali berhenti di saat genting bagi mengekalkan keghairahan dan minat khalayak ke atas cerita itu agar kembali mendengar semula pada malam berikutnya. Sungguhpun ‘Cerita Pak Sehalus’ mempunyai struktur binaan yang kompleks tetapi tidak sekompleks cerita lipur lara yang memerlukan penceritaan secara bersambung-sambung kerana tuntutan cerita jenaka adalah untuk menimbulkan kelucuan dan reaksi spontan khalayak. Oleh itu, struktur binaan ‘Cerita Pak Sehalus’ adalah menyamai ‘Cerita Pak Belalang,’ ‘Si Luncai,’ ‘Lebai Malang’ dan ‘Musang Berjanggut’ yang terdiri daripada beberapa plot dan episod dan tidak seperti cerita Pak Pandir yang wujud dalam binaan plot mudah satu episod lengkap sehingga menjadikannya kumpulan cerita-cerita pendek yang lengkap secara berasingan antara satu sama lain. Keadaan ini secara langsung menggam-barkan ketinggian daya kreativiti masyarakat setempat walaupun hidup dalam suasana sederhana. Dari segi tema, cerita jenaka suku kaum Jakun Sungai Mok ini menyamai kumpulan cerita-cerita ‘Pak Pandir’ yang memperkatakan tema tipikal genre cerita jenaka iaitu gabungan Si Bodoh dengan kebodohannya dan pertentangan antara Si Bodoh dan Si Bijak.

Secara ringkas, cerita ini mengisahkan Pak Sehalus yang bodoh dan malas sering dimarahi isteri lalu dihalau keluar kaitan peristiwa melepaskan ikan tangkapannya. Semasa membawa diri, Pak Sehalus disertai seorang puteri yang lari dari istana membawa bersamanya emas yang secara kebetulan menjangka-kan protagonis ini teman lelakinya. Tujuh tahun bergelandangan, mereka berhenti di suatu anak sungai di negeri raja yang zalim lalu mendirikan pondok. Emas yang diberi kepada Pak Sehalus untuk dijual lalu dibelikannya barangan yang tidak sepatutnya dan dengan harga yang mahal pula seperti pinggan, beras, garam, benih jagung, benih pisang, kain, baju, kucing, anjing, burung pegar, landak dan kunang-kunang berbanding makanan. Suatu hari, orang-orang raja yang zalim berburu di hutan telah menemui pondok lalu terpandang puteri raja yang cantik. Peristiwa itu menyebabkan raja sampai dan berniat untuk merampas puteri daripada Pak Sehalus. Pelbagai helah dan muslihat dilakukan raja untuk membunuh Pak Sehalus termasuklah menyuruhnya mencari negeri Emak Harimau Garang Beranak Muda; mencari Pedang Pandai Pancung Sendiri dan mencari tempat kediaman ibu bapa raja sebelum mereka mangkat. Walaupun tugasan itu pelik dan berbahaya, Pak Sehalus berjaya tetapi semuanya mendatangkan kemusnahan yang teruk di pihak raja dan negerinya. Bukan sahaja raja itu dapat diperdaya sehingga membawa kepada kematiannya, malah semua ternakan mati dibaham harimau manakala ramai rakyat negeri itu dipancung Pedang Pandai Pancung Sendiri. Setelah kematian raja, Pak Sehalus menjadi raja lalu mengahwini puteri bongsu raja zalim selain tuan puteri dan puteri yang menjelma dari cembul. Akhirnya, setelah memerintah selama tujuh bulan, Pak Sehalus kembali ke tempat asalnya di kayangan walaupun hanya berlagak sebagai seorang bodoh selama ini ketika berada di bumi.

PAK SEHALUS

Sekali imbas, perwatakan Pak Sehalus selari dengan Pak Pandir[10] dan lain-lain watak jenaka Nusantara yang memainkan peranan Si Bodoh. Keadaan ini memperlihatkan Pak Sehalus sama seperti Pak Pandir yang dilebelkan Winstedt sebagai the Malay Handy Andy yang merujuk kepada numskull, buffoon dan slow-witted. Jika diperhalusi, tindakan dan aksi kebodohan itu timbul kebanyakannya kerana ketidakupayaan watak itu membuat tafsiran kepada sesuatu benda (termasuk binatang) atau keadaan dan juga kegagalan menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapinya. Tindakan seperti ini diistilahkan oleh John Morreall (1983: 15) sebagai kejanggalan (incongruity) iaitu reaksi kognatif kepada sesuatu yang tidak disangka, mustahil atau tidak kena pada tempatnya. Paul E. McGhee (1979: 6-7) pula menjelaskan bahawa bersifat janggal atau canggung itu sebagai tindakan melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan aturan biasa seperti yang sepatutnya dilakukan oleh manusia biasa. Oleh itu, watak yang sedemikian itu cukup mudah melakukan kesalahan kerana ia dianggap bukan normal dan seterusnya menimbulkan kelucuan di kalangan khalayak seperti dalam kes Pak Pandir.[11]

Gambaran tentang kejanggalan ini tercermin dalam setiap tindakan Pak Sehalus. Sebagai pengail ikan, dia yang bergantung hidup kepada sumber tangkap ikan di laut dan telah berusaha selama seminggu tanpa sebarang hasil akhirnya melepaskan semula ikan besar itu setelah tangkapan itu merayu simpati. Tentunya ini suatu kejanggalan kerana bertentangan dengan aturan biasa, suatu tindakan bodoh dirinya, ketika rezeki telah berada dalam genggaman dan pasti menjadi miliknya dibuang begitu saja. Lebih memburukkan keadaan peristiwa itu kemudiannya diberitahu kepada isterinya apabila pulang ke rumah lalu menimbulkan kemarahan sehingga dipukul dengan kayu. Peristiwa itu juga menyebabkan Pak Sehalus lari dari rumah setelah dihambat isterinya sehingga secara tidak sengaja masuk ke kawasan istana. Kejanggalan lain yang juga memperlihatkan kebodohan diri Pak Sehalus adalah dalam kes pembelian barang-an hasil jualan emas puteri. Berbanding makanan, barangan yang dibeli adalah sesuatu yang tidak munasabah baik dari segi jenis mahupun harga. Dalam penjualan pertama, Pak Sehalus mendapat RM150.00 tetapi dibelanjakan kesemuanya untuk membeli sebiji pinggan, segantang beras, garam, benih jagung tiga biji dan benih pisang tiga pokok. Hasil jualan kedua RM300.00 dibeli beras, kain, baju dan termasuk kucing dan anjing manakala RM500.00 bagi jualan ketiga dibeli barang makan termasuk lauk-pauk, burung pegar, landak dan kunang-kunang. Harga setiap barangan itu pula amat mahal melebihi daripada sepatutnya sering kali ditetapkan sendiri oleh Pak Sehalus sesuka hati asalkan duit di tangan habis. Lebih pelik lagi, kesemua binatang kecuali kunang-kunang yang dibelinya baik kucing, anjing, burung pegar dan landak adalah binatang liar yang garang dan ganas serta sering mengancam nyawa dan keselamatan orang kampung yang tidak perlu pembayaran tetap dibayar dengan harga yang tinggi walaupun ditegah berkali-kali.

Selain itu, muslihat raja zalim memasang jebak untuk menghapuskan Pak Sehalus bagi merampas puteri diterimanya begitu sahaja sekali lagi mencerminkan kebodohannya. Baik ketika mencari negeri Emak Harimau Garang Beranak Muda; mencari Pedang Pandai Pancung Sendiri dan mencari kediaman ibu bapa raja sebelum mereka mangkat merupakan tugasan yang pelik dan berbahaya tetapi dalam keadaan genting bantuan muncul dalam bentuk ikan yang diselamatkannya sebelum itu – suatu unsur dues ex machina. Keadaan ini menggambarkan kebodohan sama seperti Pak Pandir yang dijadikan model negatif yang dihindari daripada dilabelkan dengan jolokan ‘Pak Pandir’ dalam kalangan masyarakat Melayu. Oleh itu, di sinilah letaknya cerita jenaka sebagai suatu kritik sosial bahawa dalam kehidupan perlunya memiliki kecerdasan akal sekurang-kurangnya dalam perkara asas supaya tidak mudah diperdaya dan tertindas.

Sungguhpun begitu, di sebalik sifat bodoh, kualiti kebijaksanaan pada Pak Sehalus turut tercermin menerusi tindakannya. Belian binatang ganas walaupun dilihat tidak munasabah di peringkat awal, sebenarnya membawa kelebihan tersendiri apabila mampu memberi perlindungan dari segi keselamatan kepada puteri terutama semasa ketiadaan Pak Sehalus. Oleh itu, pembelian tersebut mempunyai kepentingan dan manfaat tersendiri yang seolah-olah telah dijangkakan Pak Sehalus. Keadaan yang sama kepada benih jagung dan pisang yang membuahkan hasil kemudiannya dalam menyara kehidupan mereka. Oleh itu, Pak Sehalus bukan sekadar watak jenaka Si Bodoh yang melakukan segala tindakan janggal yang diwujudkan bagi menimbulkan reaksi kelucuan sahaja. Pak Sehalus adalah watak yang memainkan peranan ‘trickster’[12] dalam folklor atau Melayunya, pengakal. The Encyclopedia of Religion (1987: 45) menerangkan bahawa ‘trickster’ merujuk kepada watak mitos yang menyerlah dari segi kemahiran mengakal dan memperdaya selain mempunyai tenaga luar biasa dengan sebahagian anggota badan yang berlebihan. Watak lucu ini tidak menghirau nilai moral yang mungkin manusia tetapi sering kalinya binatang yang licik dan bijak. Ada kalanya, pengakal memainkan peranan wira budaya (culture hero) yang memperkenalkan api, pertanian, alatan dan kematian kepada manusia. Suatu hal yang pasti, pengakal adalah watak yang mempunyai kualiti atau sifat diri yang bertentangan (ambivalence), positif dan negatif; baik dan buruk; bijak dan bodoh; licik dan lembam; pelindung dan tamak dan sebagainya. Melalui pertentangan kualiti yang dimilikinya, pengakal memperlihatkan kelicikan dan kebijaksanaan akal dalam memperdaya, mengakal dan memanipulasi pesaing atau watak lain yang menjadi mangsa kepada kelangsungan dan cita-citanya. Sebaliknya, pengakal juga berupaya ditipu dan dimanipulasi menerusi kebodohannya untuk meletakkan dirinya di pihak yang menjadi mangsa.

Kedua-dua kualiti bertentangan ini dimiliki Pak Sehalus dan menjadikannya pengakal suku kaum Jakun di Sungai Mok, watak separuh dewa yang berasal dari kayangan tetapi berpura-pura bodoh semasa di bumi. Kebijaksanaan Pak Sehalus terserlah melalui muslihat untuk mengatasi tindakan raja yang cuba memperdayanya – tipu lawan tipu. Melalui helah undangan raja yang menjanjikan habuan menarik, harimau dan pedang yang ganas berdamai dengan Pak Sehalus lalu mengikutnya kembali untuk membinasakan negeri baik ke atas ternakan mahupun rakyat. Kemuncak kepada kebijaksanaan dan kelicikan Pak Sehalus bagi mengatasi kezaliman raja itu adalah kejayaan menamatkan riwayat raja menerusi teknik ala-Si Luncai. Raja terpedaya dengan helah Pak Sehalus yang berjubah dan berserban seolah-olah baru kembali dari Mekah membawa pesanan ibu bapa raja menjemput anaknya ke sana serta menyerahkan sebuah kitab milik ayah raja sebagai bukti. Menerusi lubang tempat Pak Sehalus ditanam hidup-hidup oleh raja sebelumnya, raja, isteri dan para menteri terjun ke dalamnya lalu menemui ajal. Setelah kematian raja, Pak Sehalus menjadi raja lalu mengahwini puteri bongsu raja zalim selain tuan puteri dan puteri jelmaan dari cembul, tunangannya di kayangan. Sehubungan itu, cerita Pak Sehalus menjadi kritikan sosial masyarakat di Sungai Mok terhadap perjuangan mereka menentangan penindasan dalam menyuarakan pengalaman hidup mereka di lembangan Endau-Rompin selain berhibur menceriakan suasana.

KESIMPULAN

Pak Sehalus adalah watak pengakal bagi suku kaum Jakun yang menetap di Sungai Mok, Rompin, Pahang. Sebagai pengakal, Pak Sehalus memiliki sifat diri yang bertentangan, positif dan negatif dengan memperlihatkan kelicikan dan kebijak-sanaan akal dalam memperdaya, mengakal dan memanipulasi raja yang menjadi mangsa kepada kelangsungannya. Sebaliknya, dalam masa yang sama dia juga berupaya ditipu dan dimanipulasi atas kebodohannya dalam meletakkan dirinya di pihak yang menjadi mangsa. Peranan yang dimainkan Pak Sehalus menyamai protagonis dalam cerita jenaka tradisional lain yang tersebar di Nusantara baik Pak Pandir, Si Saloi dan Apai Saloi, Si Kabayan, Jaka Bodo dan Si Meuseukin. Cerita Pak Sehalus menjadi suatu bentuk kritikan sosial masyarakat di Sungai Mok terhadap perjuangan dan penentangan mereka ke atas bentuk penindasan. Kewujudan cerita ini memperlihatkan ketinggian daya kreativiti masyarakat tersebut dalam menyuarakan pengalaman hidup mereka di lembangan Endau-Rompin selain untuk berhibur dalam menceriakan suasana ketika bercerita.

RUJUKAN

Dussek, O.T. (ed.). 1925. Hikayat Pelandok. Singapore: Methodist Publishing House.

Edwards, J.D. 1978. The Afro-American Trickster Tale: A Structural Analysis. Bloomington, Indiana: Folklore Publication Group, University of Indiana.

Eliade, M. (et.al.). 1987. The Encyclopedia of Religion. (Vol.15.). New York: Macmillan Publishing.

Hanapi Dollah. 2002. ‘Sastera Lisan Kalimantan Barat.’ Rumpun Melayu-Polinesia Bil. 16 (10): 1-56.

Jamilah Haji Ahmad. 1993. ‘Sastera Rakyat.’ Dlm. Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (pngr.). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Luomala, K. 1949. Maui-of-a-Thousand-Tricks: His Oceanic and European Biographers. Honolulu: The Museum.

Margaret Muth Alibasah. 1986. Indonesian folk tales. t.t.: Djambatan.

Miharja, Achdiat, K. 1963. ‘Dongeng-Dongeng Si Kabayan.’ Dlm. Tjerita Rakjat III. Jakarta: P. N. Balai Pustaka.

Muhammad Abdul Latif. 1980. Sejarah kesusasteraan Melayu Brunei. Brunei Darus Salam: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamad Luthfi Abdul Rahman. 2008. Pura Taman: Antara Dalang dengan Dagang. Tesis Doktor Falsafah (Tidak Diterbitkan). Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Radin, P. 1956. The Trickster. A study in American Indian Mythology. New York: Schocken Books.

Sandin, B. 1960. ‘Tragi-Comic Tales of Apai Salui (Iban).’ Sarawak Museum Journal. X 15/16: 638-647.

Sekoni, R. 1994. Folk Poetics: A Sociosemiotic Study of Yoruba Trickster Tales. Westport, Connecticut: Greenwood Press.

Shaiful Bahri Md. Radzi. 2000. Malay Humorous Tales: Performance, Corpus of Oral Texts and Its Study. Tesis Doktor Falsafah. School of Oriental and African Studies: University of London.

Shaiful Bahri Md. Radzi. 2004. ‘Pura Taman: Penglipur Lara Terakhir.’ Dewan Budaya Jil. 26 (11): 26-28.

Sweeney, A. 1976. ‘The Pak Pandir Cycle of Tales.’ JMBRAS 49 (1): 15 – 88.

Winstedt, R.O. 1939. ‘A History of Malay Literature. With a Chapter on Modern Developments by Zainal Abidin bin Ahmad.’ JMBRAS. 17 (3): pp. 1 – 243.

Winstedt, R.O. and Sturrock, A.J. (eds.). 1941. Cherita Jenaka. Singapore: Malaya Publishing House.


[1] Asalnya dibentangkan di Persidangan Ilmu Kemanusiaan Antara-bangsa 2011 (International Conference on Humanities – INCoH2011), 14-16 Jun 2011 anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang di Parkroyal Renang Resort.

[2] Perubahan zaman kaitan daripada permodenan dan kemajuan dalam bentuk hiburan menyebabkan kebanyakan sastera rakyat berbentuk prosa seperti cerita mitos, legenda, cerita binatang dan lipur lara hilang fungsinya dalam kehidupan masyarakat pemiliknya dan hanya kekal dalam bentuk bahan bercetak sahaja.

[3] Keterangan lanjut, Paul Radin (1956).

[4] Kebiasaannya watak ini dikenali hanya sebagai Maui, separuh manusia separuh tuhan. Selain diklaskan sebagai ‘trickster,’ Maui juga dianggap sebagai wira budaya (culture hero) kerana berjaya mencuri api, menjerat matahari, menaikkan langit, memerangkap angin, memancing dataran, mengubahsuai mukabumi, menubuhkan dinasti, mencipta pelbagai ciptaan yang berguna, membunuh gergasi dan menakutkan manusia gagah. Jasa baik yang dilakukannya itu menjadi Maui seorang wira dan mendapat nama seperti Maui-tinihanga atau Maui-dengan-seribu-akal (K. Luomala 1949).

[5] Winstedt (1939) mendakwa Pak Pandir merupakan watak asli ciptaan ‘pengarang Melayu,’ selain Pak Kadok, dan Lebai Malang. Bersama yang asli terdapat juga cerita saduran sama ada dari India seperti Mat Jenin, Pak Belalang, dan Si Luncai, mahupun Arab-Parsi seperti kumpulan cerita Abu Nawas dan Musang Berjanggut. Cherita Jenaka Melayu susunan Winstedt dan Sturrock yang diterbitkan pada tahun 1908 di Singapura memberi gambaran bahawa cerita jenaka Melayu terhad hanya kepada lima watak popular – Pak Pandir, Pak Kadok, Pak Belalang, Lebai Malang dan Si Luncai. Pandangan ini dibuktikan sebaliknya oleh Amin Sweeney (1976), Jamilah Haji Ahmad (1993) dan Shaiful Bahri Md. Radzi (2000) memandangkan terdapatnya ratusan cerita jenaka lain yang berbentuk sederhana dalam perbendaharaan lisan Melayu.

[6] Si Kabayan merupakan satu-satunya watak jenaka yang terus hidup subur dalam dunia moden kontemporari berbanding watak lain di Nusantara yang ‘mati’ dalam dunia tradisionalnya. Keadaan ini menunjukkan bahawa watak ini masih lagi popular dan dinamik sifatnya serta mempunyai khalayaknya bagi masyarakat Sunda. Dalam kumpulan cerita susunan Achdiat K. Mihardja (1997: 138-142) diceritakan Si Kabayan berhajat untuk melawat keluar negeri dengan duit kemenangan loteri. Sekembalinya ke rumah didapatinya duit untuk membeli tiket loteri itu hilang dan terus berangan-angan untuk mencari jalan mencapai cita-citanya. Dalam angan-angannya dia hendak ke gedung percetakan untuk menempah sijil Ph.D dan kad nama supaya dia boleh dijemput memberi ceramah sebagai suatu cara untuk ke luar negeri. Tiba-tiba dia tersentak dari berangan-angan apabila mendengar suara isterinya bertanyakan tentang beras zakat yang sepatutnya mereka terima.

[7] Keterangan lanjut, lihat Margaret Muth Alibasah (1986: 49-56).

[8] Di Sarawak, Apai Saloi terkenal di kalangan masyarakat Iban yang antara lain menggambarkan tindakan bodohnya menampal retakan di bumi dengan kain setelah diperdaya isterinya, Indai Salui yang bosan dengan sikap bodohnya (Benedict Sandin 1960: 638-647). Watak ini muncul di Brunei sebagai Si Aloi dan Pak Saloi. Dalam suatu cerita, jeritan kuat untuk menyambut pertanyaan orang yang menegurnya menyebabkan rusa yang tertidur dalam perahu terjaga lalu terjun lari meredah sungai (Muhammad Abdul Latif 1980: 14-15). Di sebelah Kalimantan Barat (Kalbar), Indonesia, watak ini sangat popular dalam kalangan orang Melayu dengan nama Pak Salui. Kebodohan watak ini dapat dilihat atas tindakannya yang tidak menutup lubang muka bubunya hingga menyebabkan tangkapannya habis keluar. Keesokan hari, Mak Salui berpesan supaya dia menutup muka. Jadi apabila pulang bersama bubu yang sarat ikan dia berjalan terhuyung-hayang kerana menutup mukanya tetapi tidak muka bubunya (Hanapi Dollah 2002: 37).

[9] Mamak Batin didakwa suku kaum Jakun ini umpama Nabi Muhammad kepada penganut Islam yang sering diseru dan dipuja apabila diadakan ritual tertentu di Sungai Mok, terutama oleh Batin Jim yang juga merupakan ketua upacara setempat. Keterangan lanjut, lihat Mohamad Luthfi (2008).

[10] Dalam episod-episod buku susunan Winstedt dan Sturrock (1908) itu, disogokkan pelbagai telatah kebodohan Pak Pandir seperti memandikan anaknya dalam air panas dan diikuti dengan mengkebumikan tikar kosong; menyimpan garam dalam sungai; menyangkakan pipit mengatakan rumahnya sempit, kambing mengembek sebagai nasi tanakan isterinya, Mak Andih lembik, kambing jantan disangkakan lebai manakala pipit uban sebagai Pak Haji; membeli kerbau terbeli keri; rezeki (rusa) di hadapan mata dijadikan umpan memancing ikan di sungai dan sebagainya.

[11] Sebagai contoh, Pak Pandir menyangkakan anaknya kegembiraan dimandikan dengan ‘air suam-suam kuku’ (air panas) pada hal menjeringai kesakitan lalu mati melecur kepanasan.

[12] Cerita Pengakal (Trickster tales) wujud dalam kebanyakan masyarakat di serata pelosok dunia. Di Afrika, terdapat pelbagai binatang yang menjadi pengakal seperti labah-labah, siput babi, kelawar, anjing dan kura-kura. Bagi masyarakat Yoruba di Afrika Barat, watak pengakal yang paling popular ialah Ijapa, seekor kura-kura (Ropo Sekoni 1994: 6). Bagi masyarakat Melayu, Sang Kancil merupakan watak pengakal utama yang mempersendakan dan memanipulasi binatang yang lebih besar daripadanya seperti harimau, buaya dan ular sawa untuk dijadikan mangsa (Dussek 1925).